Rujukan:
Dipetik dari buku Taubat kepada Allah,ditulis oleh Prof Dr Yusuf al-Qardhawi
dan diterjemah oleh Ustaz Mohammad Zaini b Yahya.
Al-Quran ada memaparkan kepada kita kisah taubat
Nabi Yunus a.s ketika beliau menyeru kaumnya supaya menyembah Allah. Mereka
tidak menerima seruannya. Lantas Nabi Yunus tidak bersabar melihat penolakan
mereka sehingga beliau memarahi mereka. Beliau kemudian menjauhkan diri dari
mereka. Lalu Allah menguji beliau dengan satu cubaan yang bertujuan untuk
membersihkannya, menampakkan kekuatan jiwanya, keyakinannya kepadaNya dan
kebenarannya bersama Allah.
Pada suatu hari beliau menaiki sebuah bahtera.
Apabila bahtera tersebut berada ditengah lautan, tiba-tiba ia ditiup angin yang
kencang. Ombak yang kuat pun memukul-mukul bahtera tersebut. Semua yang berada
di dalamnya mula bimbang mereka akan karam. Mereka berkata,"Kita mestilah
mengurangkan beban bahtera ini agar kita
semua tidak karam." Mereka tidak mempunyai pilihan yang lain selain dari
membuang sebahagian penumpang ke dalam lautan untuk menyelamatkan sebahagian
penumpang yang lain.
Mereka pun membuat pilihan melalui undian.
Undian tersebut terkena pada Nabi Yunus a.s. Tiada pilihan yang lain bagi Nabi
Yunus melainkan akur kepada persepakatan tersebut. Maka beliau pun dibuangkan
ke dalam lautan. Beliau ditelan ikan paus atau "An-Nun" sebagai
celaan kerana memarahi kaumnya dan berputus asa dengan meninggalkan mereka
tanpa terus berusaha menyeru mereka lagi.
Di sini jelas kelihatan keyakinan nabi Yunus,Zun Nun. Di dalam kegelapan laut,
malam dan perut paus yang menyelubunginya itu, Nabi Yunus pun menyeru dengan
kalimah-kalimah yang telah dirakamkan dan diabadikan oleh al-Quran melalui perkisahannya;
"Maksudnya: Dan (ingatlah kisah) Zun Nun
(Yunus), ketika dia pergi dalam keadaan marah, lalu dia menyangka bahawa Kami
tidak akan mempersempitkannya (menyulitkannya), maka dia menyeru dalam keadaan
yang sangat gelap,
"Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha
Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah di
kalangan orang-orang yang zalim." Maka Kami telah memperkenankan doanya
dan menyelamatkannya dari kedukaan. Dan, demikianlah kami menyelamatkan
orang-orang yang beriman." (Surah al-Anbiya' ayat 87-88)
Tiga kalimah ringkas yang diserukan oleh Nabi
Allah Yunus tersebut mempunyai pengertian yang agung. Kalimah-kalimah tersebut
ialah.
Pertama: Kalimah yang menunjukkan tentang
ketauhidan (tauhid Uluhiyyah) yang menjadi sebab kenapa Allah mengutuskan para
Rasul dan menurunkan kitab-kitab serta sebab kepada pembinaan syurga dan
neraka.Kalimah tersebut ialah;
La ilaha illa anta.
Kedua: Kalimah yang membersihkan Allah dari
segala sifat kekurangan. Ia adalah makna tasbih yang menjadi sebab kepada
penciptaan langit dan bumi serta semua makhluk. Setiap sesuatu pasti bertasbih
kepadaNya. Kalimah itu ialah; Subhanaka.
Ketiga: Kalimah yang membuktikan pengiktirafan
terhadap dosa dan kelalaian dalam menunaikan hak Tuhan serta menzalimi diri
sendiri lantaran kelalaian.
Kalimah tersebut ialah; Inni kuntu
minazzholimiin.
Inilah slogan atau tema kepada taubat.
Tidak hairanlah jika kalimah-kalimah yang benar
lagi ikhlas ini mempunyai kesan yang segera terlaksana di dunia sebelum
Akhirat. Seterusnya Allah berfirman
"Maksudnya: "Maka Kami telah
memperkenankan doanya dan menyelamatkannya
dari kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang
beriman".
(Surah al-Anbiya' ayat 88)
Kalimah-kalimah ini berserta tiga pengertiannya
iaitu tauhid, pembersihan dan pengiktirafan telah menjadi teladan di dalam
permunajatan dan di dalam menghadapi kesulitan, sehingga terdapat dalam sebuah
hadith yang telah diriwayatkan oleh At-Tirmizi dan hukumnya sebagai sahih;
"Doa saudaraku Zun Nun, yang jika dibaca
oleh orang-orang yang mendapat kesulitan, nescaya Allah akan membebaskannya dari
kesulitan itu, iaitu: "Tiada Allah selain Engkau, Maha Suci Engkau,
sesungguhnya aku temasuk dikalangan orang-orang yang zalim."
Personal Remark:
-Saya rasa ada banyak pengajaran yang boleh kita
dapati dari kisah ini. Antaranya ialah:
1.
Agar kita segera bertaubat apabila
menyedari akan kesilapan yang telah kita lakukan. Ucaplah kalimah taubat
seperti yang diucapkan oleh Nabi Yunus dan yakinlah akan bantuan serta haraplah
keampunan dari Allah. Sesungguhnya
Dialah yang Maha Pengampun.
2.
Supaya kita selalu beringat bahawa Allah
lebih berhak ke atas kita dan Dia berhak menghukum kita atas kesalahan yang
kita lakukan. Mohonlah keampunan daripadaNya dengan harapan hukuman ke atas
kita akan diringankan dan dipermudahkan serta dosa kita di ampunkan.
3.
Hukuman serta dugaan dari Allah adalah
salah satu cara tarbiah Allah kepada hambaNya agar kita sedar akan kelemahan
serta kelalaian diri dalam melaksanakan suruhanNya serta meninggalkan
laranganNya. Hukuman dan dugaan juga adalah cara penghapusan dosa, pembersihan
diri dan pengukuhan pada tahap keyakinan,
ketaqwaan dan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah agar kita tidak
mudah putus asa dan yakin akan pembelaanNya kepada orang-orang yang beriman.
4.
Supaya kita yakin, bahawa pintu taubat
Allah itu sentiasa terbuka, selagi belum tibanya hari Akhirat atau selagi
ajalnya belum sampai ke tenggorok (halkum). (Perihal "ajal sampai ke
tenggorok" ada diriwayatkan oleh Ibn Majah dan At-Tirmizi di dalam satu
hadith hasan yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menerima taubat seseorang
hamba selagi mana ajalnya belum sampai ke tenggorok (halkum)."
5.
Peringatan supaya jangan mudah putus asa
dalam usaha menyeru umat manusia ke jalan Allah dan dalam berdakwah. Sentiasa
yakin akan pertolongan dan bantuan Allah dan yakinlah bahawa jalan Allah adalah
jalan yang jelas kebenarannya.
Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah,
dan yang buruk itu adalah dengan keizinanNya tetapi di atas kelemahan dan kecualian
diri saya sendiri. Jazakallahu khair.
0 komentar:
Posting Komentar