Tajuk di atas sebenarnya adalah sangat besar dan luas untuk diperbincangkan, tetapi apa yang akan kita bentangkan di sini hanyalah sekadar gambaran sahaja yang mana mudah-mudahan ianya dapat kita manfaatkan bersama ke arah kebaikan dan seterusnya ke arah penghayatan Islam yang sebenarnya di dalam kehidupan kita.
Diantara tuntutan-tuntutan Islam ke atas kita
ialah ;
1.
ISLAM DALAM AQIDAH KITA –
yakni Aqidah Salimah Sahihah yang bertepatan
sebagaimana yang dianjurkan oleh Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Aqidah
yang benar dan sah adalah menjadi syarat pertama kepada pengakuan seseorang
yang telah menerima Islam sebagai agama yang mengatur hidupnya. Kita hendaklah
beriman dan mempercayai perkara-perkara yang diimani dan dipercayai oleh para
sahabat nabi SAW, generasai pertama Islam (as sabiquunal awwaluun) yang telah
terbukti kebajikan, ketaqwaan dan kefahaman mereka yang tepat dan benar
terhadap Islam.
Untuk menjadikan aqidah kita aqidah yang
benar-benar diiktiraf sebagai aqidah seorang muslim, perlulah kita meyakini
bahawa pencipta alam sejagat ini ialah Allah Yang Maha Bijaksana, Maha
Mengetahui dan tidak memerlukan pertolongan orang lain. Kita perlu meyakini
bahawa Allah tidak menciptakan alam ini termasuk semua makhluk yang ada di
dalamnya tanpa sembarang tujuan tertentu ataupun untuk bermain-main. Kita juga
perlulah meyakini bahawa Allah telah mengutuskan para Rasul dan menurunkan
kitabNya adalah untuk tujuan mengajar manusia mengenal Allah dan memberitahu
mereka tentang matlamat kewujudan mereka didunia ini dan ke manakah akhirnya
kehidupan mereka kelak. Kita perlu meyakini bahawa matlamat kehidupan manusia
didunia ini ialah untuk mengenal Allah SWT dengan sifat-sifat uluhiah dan
rububiahNya, taat dan mengabdikan diri kepadanya selaras dengan apa yang di
jelaskan dalam firman Allah yang bermaksud;
"dan Aku (Allah SWT) tidak menciptakan jin
dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu"
Kita juga perlulah meyakini bahawa syurga adalah
balasan dan ganjaran bagi mukmin yang taat manakala siksaan yang pedih dan azab
api neraka adalah balasan bagi orang-orang yang kafir. Kita juga perlu yakin
bahawa penciptaan dan penggubahan undang-undang adalah hak mutlak Allah SWT dan
ini bererti kita sebagai manusia tidak boleh melewati dan melanggar
undang-undang Allah SWT atau dalam artikata yang lain membuat dan menggubah
undang-undang yang berdasarkan akal fikiran kita sendiri.
Seterusnya kita hendaklah mengabdikan diri hanya
kepada Allah dan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu yang lain. Hendaklah kita
merasa takut kepada Allah semata-mata dan tidak takut kepada yang selain
daripadaNya.
Dan ketakutan kita kepada Allah seharusnyalah
menjadi pendorong untuk kita menjauhkan diri dari perkara-perkara yang dimurkai
dan diharamkan oleh Allah SWT. Kita juga mestilah sentiasa mengingati Allah SWT
dalam apa juga suasana dan mestilah mencintai Allah SWT lebih daripada
kecintaan terhadap perkara-perkara yang lain.
Firman Allah SWT; maksudnya;
"Katakanlah jika bapak-bapak, anak-anak,
saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga, harta kekayaan yang kamu
usahakan, perniagaan yang kamu kuatiri kerugiaannya dan rumah-rumah tempat
tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya
dan dari berjihad dijalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan
keputusanNya dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik"
(9:24)
Sebelum dan selepas kita melakukan sesuatu kita
perlulah bertawakkal kepada Allah SWT dan kita bertawakkal ini hendaklah dalam
semua urusan dan perkara. Disamping itu hendaklah kita banyak bersyukur
terhadap nikmat kurniaan Allah SWT kepada kita dan hendaklah kita sentiasa
memohon ampon kepada Allah SWT dan bertaubat kepadaNya kerana taubat itu
merupakan kifarat bagi segala kesalahan disamping menjadi penenang hati bagi
mereka-mereka yang insaf dan sedar. Dan akhir sekali untuk kita memperolehi
aqidah yang benar perlulah kita sentiasa di dalam keadaan bermurakabah terhadap
Allah SWT (merasai bahawa Allah melihat, mendengar dan mengetahui apa yang kita
lakukan) baik dalam keadaan terang ataupun tersembunyi.
2.
ISLAM DI DALAM IBADAH KITA. –
Ibadah dalam Islam adalah merupakan kemuncak
kepatuhan dan ketundukan sesaorang hamba kepada Allah SWT dan kelaimik dari
perasaan yang merasakan akan kebesaran Allah sebagai tempat untuk mengabdikan
diri. Ibadah juga merupakan tangga penyambung diantara makhluk dan penciptanya.
Selain daripada ibadah mempunyai kesan-kesan yang mendalam disudut hubungan
antara makhluk dan penciptanya.
Sesungguhnya Islam menuntut supaya seluruh
kehidupan ini hendaklah berjalan di dalam rangka ibadat dan taat hanya kepada
Allah SWT. Inilah yang dimaksudkan dengan firman Allah SWT;
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia
melainkan supaya mereka menyembahKu" (51:56)
Oleh itu untuk menjadikan ibadah kita
keseluruhannya di dalam rangka mengabdikan diri kepada Allah maka perlulah kita
berhubung terus dengan Allah SWT dalam apa jua perkara yang hendak kita
lakukan. Kita sentiasa menghubungkan hati kita dengan Allah SWT sehingga dapat kita
merasakan apa yang disebut sebagai 'Ihsan' yakni kita melakukan ibadah kepada
Allah seolah-olah kita melihatNya dan kalau kita tidak melihatNya maka kita
yakin bahwa Allah melihat apa yang kita perbuat. Ibadah yang kita lakukan
hendaklah benar-benar khusyuk sehingga dapat kita merasakan kepanasan hubungan
kita dengan Allah SWT dan merasakan akan kepuasan dan kelezatan dari ibadah
yang kita kerjakan itu.
Sewaktu kita melakukan ibadah hendaklah kita
benar-benar menghadirkan diri dan hati kita dihadapan Allah SWT. Maknanya kita
perlulah membebaskan diri kita dari sebarang urusan dan kepentingan dunia.
Inilah yang disebut oleh nabi SAW dalam sepotong hadis yang bermaksud ;
"Allah tidak akan melihat Sholat lelaki
yang tidak menghadirkan hatinya bersama badannya"
Sehubungan dengan ini telah disebutkan juga
bahawa "Sholat itu merupakan sebahagian daripada urusan akhirat, apabila
kamu masuk ke dalamnya berarti kamu telah keluar dari dunia".
Diriwayatkan juga bahwa Hasan Al-Basri pernah
berkata,"Setiap Sholat yang dilakukan tanpa kehadiran hati maka Sholat itu
adalah lebih cepat membawa kepada siksaan".
Dalam melakukan ibadah kita hendaklah merasa
tamak yakni tidak cukup dengan apa yang telah kita lakukan. Kita akan sentiasa
berusaha untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT dengan melakukan
ibadat-ibadat sunat seperti melakukan qiamul-lail (bangun sembahyang diwaktu
malam) dan sebagainya. Sesungguhnya qiamul-lail adalah merupakan perkara yang
paling kuat yang dapat memelihara iman kita. Firman Allah SWT dalam Surah
Al-Muzammil ayat 6 ; maksudnya;
"Sesungguhnya bangun diwaktu malam adalah
lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan diwaktu itu adalah lebih berkesan"
Kita juga haruslah menentukan masa-masa tertentu
untuk membaca dan mengamati Al-Quran terutamanya diwaktu fajar kerana bacaan
diwaktu itu adalah disaksikan oleh para malaikat. Seterusnya apabila kita
membaca Al-Quran hendaklah dengan penuh tadabbur (penuh perhatian), kita
berfikir untuk memahamkan isi kandungannya dan kalau boleh jiwa kita hendaklah
merasa sensitif disamping merasa dukacita kerana Rasulullah SAW pernah bersabda
yang bermaksud;
"Sesungguhnya Al-Quran itu di turunkan
dengan dukacita, oleh itu apabila kamu membacanya hendaklah kamu merasa
dukacita".
Selain daripada itu kita juga hendaklah tidak
lupa berdoa kepada Allah SWT di dalam apa jua urusan dan perkara yang hendak
kita kerjakan kerana doa adalah otak bagi segala ibadat. Dan dalam melakukan
doa ini pula hendaklah kita memilih doa-doa yang maasur yakni doa-doa yang
telah diwariskan kepada kita oleh Rasulullah SAW yang kita yakini akan
dimakbulkan oleh Allah SWT sebagaimana firmanNya yang bermaksud;
"Mintalah padaKu, niscaya akan Ku
perkenankan (permintaan)mu".
3.
ISLAM DISUDUT AKHLAK DAN KEPERIBADIAN.-
Akhlak yang mulia adalah merupakan matlamat
asasi bagi risalah Islam. Ini telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud;
"Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk
menyempurnakan akhlak yang mulia"
Akhlak yang mulia juga merupakan natijah dan
tanda dari iman yang sebenar. Tidak ada nilai bagi iman yang tidak disertai
oleh akhlak yang mulia. Pernah Rasulullah SAW ditanya oleh seorang
sahabat,"Apakah deen itu?". Lantas baginda menjawab dengan
sabdanya,"(Deen itu) adalah akhlak yang baik".
Akhlak juga merupakan amal yang paling berat
yang akan diletakkan dalam neraca hamba pada hari kiamat kelak. Maka sesiapa
yang rosak akhlaknya dan buruk amalannya tidak akan dipercepatkan hisabnya.
Dalam Islam akhlak adalah merupakan intipati bagi segala ibadat. Tanpa akhlak
ibadat hanyalah merupakan adat resam dan gerak-laku yang tidak mempunyai
apa-apa nilai dan faedah. Berhubung dengan Sholat umpamanya, Allah telah
berfirman yang bermaksud;
"Sesungguhnya Sholat itu mencegah daripada
perkara jahat dan mungkar". ( 29 : 45 ).
Daripada ayat ini dapatlah kita fahami bahawa
sesaorang yang mendirikan Sholat sudah tentulah tidak melakukan perkara-perkara
fasad dan mungkar yang mana ini akan meletakkannya sebagai seorang yang
memiliki keperibadian Islam yang sebenar dan berakhlak mulia. Tetapi sebaliknya
kalau kita lihat pada realiti yang berlaku hari ini ada sebahagian umat Islam
yang mendirikan Sholat tetapi tidak mendapat apa-apa nilai dan faedah disisi
Allah sedikitpun kerana Sholat mereka bukan untuk melahirkan akhlak yang mulia
serta meninggalkan perkara-perkara yang mungkar sebaliknya Sholat mereka itu
hanyalah sekadar akan menutupi kederhakaan mereka terhadap Allah SWT daripada
mata masyarakat. Jadi inilah waki' (satu kenyataan) yang berlaku dalam
kebanyakan masyarakat Islam pada hari ini yang memerlukan kepada proses
pembersihan dan pengislahan yang bukan sedikit.
Pembersihan dan pengislahan ini tidak akan
terlaksana kecuali dengan mereka kembali menghiaskan diri merekadengan
sifat-sifat ataupun Syaksiah Islam yang sebenarnya bermula dengan menanggal dan
menukarkan sifat akhlak yang tercela kepada sifat dan akhlak yang terpuji dan
mulia. Dan di antara sifat atau akhlak yang dan mulia itu ialah bersifat wara',
sentiasa menundukkan pandangan dari perkara-perkara yang haram, memelihara lidah
dari berkata-kata tentang perkara-perkara yang tidak berfaedah dan membawa
kepada dosa, bersifat malu sekiranya tidak melaksanakan perintah Allah bukan
kepada manusia malah yang lebih utama untuk rasa malu kepada Allah SWT,
lemah-lembut dan penyabar, bersifat benar, amanah dan jujur, tawaduk (merendah
terutamanya kepada orang-orang yang beriman, menjauhi perbuatan buruk sangka,
mengumpat dan bersifat pemurah dan
lain-lain lagi.
4.
ISLAM DI DALAM AHLI DAN KELUARGA. –
Apabila kita mengakui menganut agama Islam,
pengakuan ini mewajibkan kita mendukung satu risalah dalam hidup ini malah
menjadikan seluruh hidup kita ini adalah untuk tunduk dan patuh kepada arahan
risalah tersebut.
Kalau tadi Islam menuntut ke atas kita supaya
muslim disudut aqidah, ibadah dan akhlak maka kali ini ianya menuntut pula agar
kita bekerja bersungguh-sungguh untuk merubah masyarakat di mana kita berada
supaya menjadi masyarakat Islam ataupun mukmin yang sebenarnya. Tidaklah
memadai dengan kita menjadi muslim seorang diri sahaja tanpa mengambil berat
tentang orang-orang yang ada disekeliling kita. Ini adalah kerana diantara
kesan-kesan yang ditiupkan oleh Islam dan diresapkannya dalam hati sesaorang
yang telah beriman ialah rasa mas'uliah (perasaan bertanggungjawab) terhadap
orang yakni untuk menyeru dan menasihati mereka agar kembali kepangkuan Allah
SWT dengan menghayati Islam yang syumul dan menyeluruh yang bersih daripada
suasana campur-aduk. Ini bermakna kita dikehendaki mengambil tahu akan realiti umat Islam yang
ada disekeliling kita disamping mengajak mereka untuk bersama-sama
menterjemahkan ajaran Islam ini di dalam realiti kehidupan. Rasulullah SAW
telah bersabda yang bermaksud;
"Barang siapa yang tidur dan tidak
mengambil tahu ataupun mengambil berat tentang urusan orang-orang Islam, maka
dia bukanlah golongan mereka (golongan orang-orang Islam)".
Bertolak dari keadaan ini bermakna kita telah
mempunyai satu tanggungjawab yang baru, iaitu tanggungjawab untuk menegakkan
sebuah Masyarakat Islam dan tanggungjawab untuk menyampaikan Islam kepada
masyarakat.
Jadi langkah pertama kita ke arah itu ialah
dengan kita membentuk rumahtangga kita terlebih dahulu agar menjadi sebuah
Rumahtangga Muslim. Kita bertanggungjawab untuk menegakkan Islam ini terlebih
dahulu di dalam masyarakat rumahtangga yakni keluarga kita yang kecil itu. Kita
sampaikan Islam kepada mereka, ibu-bapa kita adik-beradik, saudara-saudara kita
dan anak-isteri kita (bagi yang sudah berkahwin) yang mana inilah cara yang
telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW diperingkat permulaan dakwah. Tugas dan
tanggungjawab kita sebagai muslim tidaklah terhad hanya cukup sekadar kita
menjadi muslim tetapi ianya adalah lebih daripada itu. Maknanya di sini sesudah
kita menunaikan tanggungjawab terhadap diri kita maka kita bertanggungjawab
pula menyebarkan Islam ini di dalam keluarga, rumah dan anak-anak kita.
Firman
Allah SWT dalam Surah At-Tahrim ayat 66 yang bermaksud;
"Wahai orang-orang yang beriman,
peliharalah dirimu dan keluargamu dari
api neraka".
Untuk membantu usaha-usaha kita agar dapat
memenuhi tuntutan Islam di dalam rumahtangga dan keluarga maka Islam telah
menunjukkan kepada kita wasilah ataupun jalan-jalan yang insya Allah akan
menyampaikan kita kepada tuntutan tersebut. Diantaranya ialah apabila kita
hendak mendirikan rumahtangga maka hendaklah terlebih dahulu ianya di niatkan
kerana Allah SWT. Kita berkahwin bukan untuk berseronok-seronok tetapi dengan
tujuan untuk membina sebuah rumahtangga Muslim yang bakal melahirkan keturunan
yang soleh yang sanggup memikul amanah dan meneruskan risalah Islam yang telah
ditinggalkan kepada kita oleh Ar-Rasul Muhammad SAW.
Selain daripada itu kita berkahwin adalah dengan
tujuan supaya dapat menjaga pandangan dan kehormatan kita agar dengan itu
membolehkan kita untuk lebih bertaqwa kepada Allah SWT. Dalam hubungan ini
Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya;
"Allah SWT berhak menolong tiga golongan ;
orang yang berjihad
pada jalan Allah SWT, hamba mukatab yang
ingin membayar harga tebusannya
dan orang-orang yang berkahwin dengan tujuan untuk dapat memelihara kehormatan
dirinya".
"Sesiapa yang berkahwin berarti beliau
telah menyempurnakan sebahagian dari agamanya dan hendaklah beliau bertaqwa
kepada Allah SWT pada sebahagian yang lain yang masih belum
disempurnakan".
Isteri ataupun bakal suami yang akan dijadikan
rekan perkongsian hidup kita mestilah yang mempunyai akhlak dan berpegang teguh
dengan agama. Maknanya disini bakal isteri ataupun suami yang hendak dikahwini
mestilah yang mempunyai deen, sekalipun tidak mempunyai harta dan kecantikan
jika dibandingkan dengan yang lain.
Dalam hal ini Rasulullah SAW telah bersabda yang
maksudnya;"Janganlah kamu mengahwini perempuan kerana kecantikannya. Boleh
jadi kecantikan mereka akan menjadikan mereka hina. Janganlah kamu mengahwini
perempuan kerana harta mereka, kerana boleh jadi harta mereka akan menjadikan
mereka bersikap zalim, tetapi kahwinilah mereka kerana agamanya".
Apabila kita telah mendirikan rumahtangga perkara utama yang perlu
dijaga oleh kedua suami-isteri ialah menjauhkan diri daripada perkara-perkara
yang bercanggah dengan syara' serta berusaha menjauhi kemurkaan dan azab Allah
SWT. Ini adalah kerana setelah berumahtangga kita mempunyai satu tanggungjawab
lain yakni tanggungjawab untuk mendidik anak-anak sekirannya dikurnia oleh
Allah SWT cahaya mata yang mana tanggungjawab ini tentulah tidak akan dapat
kita laksanakan dengan baik melainkan dengan jalan kita menjauhkan diri dari
perkara-perkara yang ditegah dan melaksanakan perkara-perkara yang diperintahkan
oleh Allah SWT.Apabila perkara ini dapat kita pelihara dengan baik dan berjalan
dalam suasana rumahtangga kita maka insyaAllah akan lahirlah di dalam
rumahtangga kita itu hubungan kasih sayang yang kerdasarkan aqidah serta
persefahaman di dalam pemikiran,jiwa dan perasaan.
Pada hakikatnya kejayaan di dalam perkahwinan
kita adalah bergantung kepada sejauhmana kita mampu memelihara perkara-perkara
yang syara',menghayati ajaran Islam dalam ertikata yang menyeluruh serta
menunaikan tanggungjawab di dalam rumahtangga yang mana termasuklah di dalamnya
tanggungjawab mendidik anak-anak dengan pendidikan Islam yang sebenarnya.
Anak-anak itu sebagaimana sabda Rasulullah SAW , dilahirkan dalam keadaan
fitrah(suci bersih). Jadi kitalah, kedua ibubapanya yang akan mencorakkan anak
tersebut samada dengan corak yang baik ataupun sebaliknyaApabila anak-anak
mendapat tarbiah(didikan) yang baik maka insyaAllah dia akan menjadi anak yang
soleh, tetapi seandainya dia tidak diberikan
tarbiah yang betul maka akan berlakulah sebagaimana yang boleh kita lihat pada
hari ini dimana anak-anak tidak menghormati kedua ibubapanya malah ada yang
apabila dewasa tidak langsung menghiraukan kedua ibu-bapanya.
Oleh kerana
itu Islam amat memandang berat terhadap aspek pendidikan anak-anak dan amat
berharap agar kedua ibu-bapa dapat menyediakan segala bentuk, sebab-sebab,
jalan-jalan dan juga suasana yang boleh membawa kepada keberkesanan tarbiah
yang baik terhadap anak-anak mereka. Perlulah dirasai bahawa kewajipan untuk
mendidik anak-anak ini sebenarnya adalah merupakan satu kewajipan yang amat
besar nilainya disisi Allah SWT jika ianya dilaksanakan dengan penuh keikhlasan
dan rasa tanggungjawab. Sabda Rasulullah
SAW yang maksudnya;"Mendidik anak-anak adalah lebih baik bagi
sesaorang itu daripada bersedekah secupak"
"Apabila seorang anak Adam itu meninggal
maka terputus semua amalan-nya kecuali tiga perkara; Sadakah Jariah, Ilmu Yang
Memberi Manfaat dan Anak Yang Soleh Yang Berdoa Untuk-Nya".
5.
SENTIASA BERJIHAD MELAWAN HAWANAFSU.
Setiap Muslim perlulah berusaha untuk
membebaskan dirinya dari bertuhankan hawanafsu kerana Allah telah mengingatkan
kita di-dalam firman-Nya yang bermaksud;
"Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh
kepada kejahatan".(Yusuf : 53)
"Dan janganlah kamu turuti hawanafsu kerana
nanti ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah". (Shad : 26)
Jadi jelaslah kepada kita bahawa menuruti atau
bertuhankan hawanafsu adalah penyebab kepada segala kejahatan yang akan
menyesatkan manusia dari jalan yang haq.
Oleh yang demikian kita sebagai Muslim Mukmin
hendaklah mengutamakan jihad terhadap hawanafsu terlebih dahulu sebelum
daripada berjihad terhadap perkara-perkara yang lain. Sabda Rasulullah SAW;
maksudnya;
"Seutama-utama jihad ialah jihad orang yang
berjihad terhadap hawanafsu-nya dalam mentaati Allah Azzawajalla".
Jihad terhadap hawanafsu merupakan jalan yang
paling baik untuk menghindarkan sesaorang daripada melakukan kejahatan dan juga
perkara-perkara yang ditegah oleh Allah SWT. Namun demikian sebagai manusia
kita juga tidak sunyi daripada melakukan dosa dan kesalahan. Dan hal ini telah
dijelaskan oleh Rasulullah SAW di dalam sepotong hadis yang bermaksud;
"Tiap-tiap anak Adam itu (manusia),akan
melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah mereka yang
segera bertaubat kepada Allah SWT".
Jadi
orang-orang mukmin apabila dia melakukan kesalahan maka dia akan segera
bertaubat dan memohon ampon kepada Allah SWT. Mereka ingat kepada Allah SWT dan
menyedari akan hakikat bahawa hanya Allahlah sahaja yang dapat mengamponkan
dosa dan kesalahan mereka. Sikap mukmin yang demikian telahpun digambarkan di
dalam Al-Quran; Surah Ali-Imran :135,
maksudnya;
"Dan orang-orang yang apabila mengerjakan
perbuatan keji atau menganiaya diri mereka sendiri, mereka ingat akan Allah SWT
lalu memohon ampon terhadap dosa-dosa mereka Dan siapakah lagi yang dapat
mengamponkan dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan
kejinya itu sedang mereka mengetahui".
6.
MEYAKINI AKAN KEBENARAN SISTEM ISLAM
SELURUHNYA.
Setiap muslim perlulah mengetahui bahawa hanya
Islamlah sahaja satu-satunya sistem yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia
ciptaan Allah SWT ini. Allah yang menjadikan manusia(kita semua) maka Dialah
yang lebih mengetahui tentang sistem 0hidup yang sesuai bagi kehidupan manusia.
Firman Allah SWT di dalam surah Al-Mulk ayat 14 yang bermaksud;
"Apakah Allah yang menciptakan itu tidak
mengetahui?, dan Dia Maha
Halus lagi Maha Mengetahui".
7.
WAJIB MENGHALAKAN SELURUH HIDUP UNTUK
ISLAM.
Kita hendaklah bekerja kearah membina kehidupan
Islam yang mana semua itu adalah dalam rangka untuk kita mencapai matlamat
hidup yang sebenar sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT dalam firman-Nya
yang bermaksud; "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk
mengabdikan diri kepadaKu
8.
BERUSAHA MEMBENTUK JAMAAH DAN MEMBINA
DAULAH
yang menjalankan syariat Allah dan menegakkan
hukum-hukum Allah SWT. Sebarang kecuaian kita di dalam usaha-usaha ini ataupun
kita meninggalkan usaha-usaha ini adalah dikira berdosa dan dimasukkan oleh
Allah dalam golongan orang-orang yang kafir, zalim dan fasiq. FirmanNya di
dalam Al-Quran Surah Al-Maidah ayat 44,45 dan 47 yang maksudnya secara ringkas
berbunyi;
"Barangsiapa yang tidak
berhukum dengan apa yang
diturunkan oleh Allah SWT, maka mereka itulah orang-orang yang kafir,zalim dan fasiq Wallahu A'lam.
0 komentar:
Posting Komentar